Mukadimah
ANGKATAN Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad
(Angkasa) telah melalui pelbagai transformasi sejak 2009 yang menyaksikan
organisasi itu memberi keutamaan kepada kegiatan pengembangan perniagaan
berbanding penganjuran kursus, latihan dan seminar.
Transformasi yang dilakukan itu telah
meningkatkan tahap profesionalisme Angkasa sebagai badan puncak yang menaungi
lebih 6,000 koperasi ahli di seluruh negara.
Presiden Angkasa, Prof. Datuk Dr. Mohd. Ali
Baharum (gambar) merupakan tenaga penggerak utama dalam merancang dan
menggemblengkan sumber-sumber yang dimiliki organisasi itu dalam menjayakan
wawasan menuju kegemilangan.
Dalam wawancara eksklusif bersama wartawan
Utusan Malaysia, HUSSAINI AMRAN dan jurugambar, TENGKU MUHAMMAD FAKHRUDDIN di
pejabat pengurusan Koperasi Pembiayaan Syariah Angkasa Berhad (Kopsya) di
Kelana Jaya, Selangor baru-baru ini, Mohd. Ali berkongsi pendekatan yang
diambilnya bagi memperkasakan Angkasa yang diterajuinya sejak empat tahun lalu.
UTUSAN:
Boleh jelaskan secara ringkas pencapaian Angkasa sejak Datuk dilantik sebagai
Presiden sehingga sekarang?
MOHD. ALI:
Sejak saya dilantik sebagai Presiden pada 2009 sampai kini, banyak perubahan
dilakukan oleh Angkasa sebagai gerakan koperasi. Aktiviti yang dijalankan oleh
Angkasa memberi kesan positif kepada gerakan koperasi di negara ini.
Pada 2009,
kita telah mengadakan konvensyen bagi membincangkan tentang hala tuju Angkasa
yang dihadiri kira-kira 3,000 peserta.
Konvensyen
itu membincangkan apa yang perlu dilakukan oleh gerakan koperasi pada masa akan
datang. Saya sendiri membentangkan kertas kerja dalam konvensyen tersebut.
Hasil daripada konvensyen sehari itu, saya melihat banyak cadangan diutarakan.
Cadangan apakah
yang dikemukakan pada konvensyen berkenaan?
Pertama,
kita mesti mengubah Undang-undang Kecil Angkasa yang pada masa itu tidak begitu
fleksibel dan tidak membenarkan kita mempelbagaikan aktiviti.
Bukan
Angkasa tidak boleh bergiat dalam aktiviti lain sebelum itu tetapi terdapat
kekangan pada Undang-undang Kecil Angkasa. Pada masa itu, kita lebih fokus
kepada aspek penganjuran latihan, kursus dan seminar sahaja. Tiada aktiviti
perniagaan.
Susulan
konvensyen itu, kita membuat keputusan bahawa Angkasa harus berniaga. Kita
harus terlibat dalam perniagaan bagi membantu ahli-ahli kita terdiri daripada
90 peratus koperasi kecil dan sederhana serta hanya 10 peratus koperasi
bertaraf kelas A yang mampu berdikari contohnya Koperasi Bank Rakyat, Koperasi
Felcra, Koperasi Felda, Koperasi Polis Diraja Malaysia dan Koperasi Tentera.
Apabila kita
bantu koperasi-koperasi kecil ini, oleh kerana jumlahnya besar, kesannya juga
jadi besar. Kita memutuskan Angkasa perlu melibatkan diri dalam aktiviti
perniagaan dan membimbing koperasi-koperasi ahli dalam bidang perniagaan.
Bagi
membolehkan perkara ini dilakukan, kita telah meminda Undang-undang Kecil
Angkasa pada mesyuarat agung khas di Pulau Pinang pada 2010. Hasil pindaan itu,
Angkasa boleh menceburi apa sahaja jenis perniagaan.
Tidakkah
berlaku pertembungan kepentingan dengan koperasi-koperasi ahli setelah Angkasa
bergiat dalam perniagaan?
Kita telah
meyakinkan koperasi-koperasi ahli bahawa perniagaan yang diceburi Angkasa mesti
mempunyai impak tinggi di dalam masyarakat. Perniagaan itu juga tidak
mengakibatkan pertembungan dengan kegiatan yang dijalankan koperasi ahli.
Sekiranya
Angkasa terpaksa menceburi bidang yang sama, kita akan menaik taraf perniagaan
koperasi ahli terbabit.
Dengan
kaedah itu, kita membantu koperasi ahli dan bukannya menjadi pesaing mereka.
Angkasa juga mesti fokus dan mempunyai perangkaan program yang luas bagi
membantu gerakan koperasi dan seterusnya membantu mengembangkan ekonomi negara
menerusi peningkatan kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Untuk tujuan
itu, kita telah mencerakinkan apa yang patut dilakukan. Angkasa berfungsi
sebagai badan puncak, dan koperasi-koperasi di bawahnya mempunyai pelbagai
fungsi. Ada fungsi kredit, perbankan, kepenggunaan, peruncitan, sekolah dan
perumahan.
Jadi, kita
harus menguruskan semua fungsi itu namun kita tidak dapat melakukannya sekali
gus dalam masa terdekat disebabkan kekangan yang banyak. Oleh itu, saya
menggunakan prinsip yang diamalkan dalam pengurusan Islam. Kalau kita tidak
boleh buat semua, kita jangan tinggal semua. Mesti buat juga walaupun satu.
Bagaimana
Angkasa meletakkan keutamaan bidang perniagaan mana yang ingin diceburi?
Keutamaan
kita yang paling tinggi adalah sumber dana. Kita tubuhkan Koperasi Pembiayaan
Syariah Angkasa Berhad (Kopsya) tahun lalu bagi membolehkan koperasi-koperasi
ahli menyalurkan dana lebihan.
Koperasi
juga mendapat dana untuk pembiayaan. Kenapa dinamakan koperasi pembiayaan?
Dalam konsep pengurusan Islam, kita tidak boleh menamakannnya koperasi pinjaman
kerana tidak patuh syariah. Pembiayaan macam berniaga. Kalau pinjaman bukan
berniaga. Bagi pinjam, kalau ambil lebih jadi riba.
Ada dua
pendekatan pembiayaan ini. Pertama, koperasi beri kepada kita dan kedua, kita
beri kepada koperasi.
Fungsi
Kopsya yang ditentukan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) ada tiga
perkara asas iaitu memberi pembiayaan kepada koperasi kredit untuk mendapat
dana bagi pinjaman kredit kepada ahli-ahlinya; memberi pembiayaan kepada
koperasi khasnya koperasi perumahan untuk memberi pembiayaan perumahan kepada
ahli-ahli mereka dengan menggunakan kaedah muamalah musyarakah mutanafisah (MM)
dan membiayai pembangunan aset koperasi contohnya tanah. Alhamdulillah, kita
telah melakukan semua itu dan sudah berjaya.
Perkembangan
sekarang cukup bagus dan Kopsya kini mempunyai lebih 500 koperasi ahli. Kopsya
pun sudah memberi pembiayaan kepada banyak koperasi. Mereka juga mula yakin
dengan Kopsya.
Sudah tentu
banyak cabaran dalam masa setahun Kopsya berkoperasi. Pendekatan apakah yang
Datuk gunakan untuk menangani segala cabaran itu?
Kita kaji
kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman terhadap Kopsya dengan menggunakan
analisis SWOT.
Bercakap
tentang kekuatan, Angkasa mempunyai lapan juta ahli yang berada di bawah
kira-kira 6,000 koperasi ahlinya di seluruh negara. Kita akan mempunyai dana
yang besar sekiranya ada kaedah untuk mendapatkannya daripada lapan juta ahli
itu.
Kelemahan
dan ancaman Kopsya pula ialah kita tidak boleh menerima ahli individu secara
terus. Kita hanya boleh menerima ahli melalui koperasi sahaja. Keadaan ini
seperti satu kerugian kepada kita.
Terdapat
kira-kira 10,300 koperasi di Malaysia dan Kopsya menyasarkan kesemuanya sebagai
ahli. Bagi mengatasi kelemahan dan ancaman itu, Kopsya telah merancang beberapa
program dan produk.
Kita telah
mengemukakan beberapa mekanisme kontrak yang wujud dalam syariah sepenuhnya
yang tidak ditawarkan oleh pihak lain.
Mereka
menggunakan pembiayaan berasaskan hutang tetapi kita lebih kepada pembiayaan
aset atau ekuiti yang berteraskan perkongsian.
Contohnya,
katakan sebuah rumah berharga RM200,000. Kalau kita menggunakan konsep
pembiayaan berasaskan hutang, pihak bank akan membeli rumah itu dan menjualnya
kepada pelanggan pada harga RM350,000.
Berbeza
dengan konsep pembiayaan aset atau ekuiti yang diamalkan Kopsya. Kita beli
rumah pada harga yang sama dengan pelanggan dan Kopsya membiayai 90 peratus
daripada harga rumah.
Baki 10
peratus dibiayai oleh pelanggan. Dalam konsep ini, pelanggan yang juga koperasi
ahli Kopsya tidak berhutang dengan kita kerana ia dianggap sebagai pelabur.
Kita juga
menggunakan pendekatan berunding untuk memastikan pelanggan menepati jadual
pembayaran.
Semakin
banyak yang dibayar semula, semakin bertambah pegangan pelanggan dalam aset
itu. Pada masa sama, pegangan Kopsya semakin berkurangan. Konsep ini tidak
membebankan pelanggan kerana mereka membeli aset pada harga pasaran.
Menyentuh
tentang peluang, kita telah melancarkan produk pembiayaan membeli rumah pada 15
Jun lalu.
Produk
terbaharu ini membuka peluang untuk menyalurkan lebih banyak dana kepada Kopsya.
Kita berharap lebih banyak koperasi menjadi ahli Kopsya supaya mereka boleh
menawarkan produk ini kepada ahli-ahli.
Pendekatan
yang diambil Kopsya ini menyerupai konsep yang diamalkan Kesatuan Koperasi
Pengguna Jepun (JCCU).
JCCU
melaksanakan konsep ini menerusi perniagaan pasar raya di seluruh Jepun dengan
menawarkan produk pada harga berpatutan kepada pelanggan.
Saya
berharap melalui Kopsya, Angkasa juga dapat mewujudkan suasana serupa agar
ahli-ahli koperasi yang bernaung di bawahnya dapat menerima manfaat secara
langsung.
Produk-produk
lain yang ditawarkan Kopsya?
Selain
pembiayaan ekuiti, kita juga menawarkan kepada koperasi ahli kemudahan
pembiayaan sehingga 10 kali ganda daripada dana mereka. Secara tidak langsung,
kaedah pembiayaan ini menggalakkan koperasi berlumba-lumba menambah ahli agar
lebih banyak dana dapat dikumpulkan.
Lebih banyak
dana koperasi itu, lebih tinggi nilai pembiayaan yang boleh diterimanya.
Kita juga
menawarkan produk simpanan tetap Al-Wafi yang menawarkan kadar pulangan
kompetitif sebanyak 4.5 peratus setahun kepada ahli-ahli koperasi.
Kita mahu
mewujudkan kesetiaan ahli terhadap koperasi melalui kaedah ini dan seterusnya
mencetuskan minat mereka untuk menggunakan perkhidmatan Kopsya. Kita berhasrat
untuk menjadikan kesemua koperasi sebagai cawangan kepada Kopsya.
Di samping
itu, Kopsya telah berbincang dengan sebuah institusi kewangan untuk mengadakan
penjenamaan bersama. Ahli-ahli boleh menggunakan kemudahan institusi kewangan
terbabit seperti cek, mesin ATM dan perkhidmatan bayaran gaji.
Bagaimana
dengan kegiatan perniagaan lain di bawah Angkasa?
Kita turut
merancang untuk memperkasakan aktiviti peruncitan. Kita telah memulakan
rangkaian perniagaan runcit melalui pengambilalihan kira-kira 2,400 koperasi
sekolah dengan menaik taraf daripada penjualan alat tulis sahaja kepada barang
runcit.
Kempen
sedang dijalankan di seluruh negara. Ada koperasi sekolah yang beroleh hasil
jualan antara RM800,000 hingga RM1 juta setahun.
Angkasa juga
menggalakkan pembukaan koperasi masjid agar peranan institusi itu sebagai pusat
aktiviti kemasyarakatan dapat dipertingkatkan.
Kita
merancang untuk membuka sebuah pusat pengedaran peruncitan sendiri bagi
membolehkan produk-produk dijual pada harga berpatutan. Perikatan Koperasi
Antarabangsa (ICA) juga merancang untuk membuka rangkaian pasar raya di
negara-negara ahlinya dan apabila perkara itu berlaku, Angkasa sebagai badan
puncak koperasi ini Malaysia akan turut terlibat.
Angkasa
telah menjalinkan kerjasama dengan sebuah syarikat untuk memasarkan produk
telekomunikasi di seluruh negara. Sebuah lagi syarikat milik Angkasa, MyAngkasa
Holdings Sdn. Bhd. telah membuka dua pusat dialisis di Temerloh, Pahang dan
Pulau Pinang.
Setiap
pelanggan yang datang ke pusat dialisis kami tidak perlu mengeluarkan wang
sendiri. Pembiayaan dibuat menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso),
insurans atau zakat.
Sekiranya
tidak berjaya mendapatkan pembiayaan juga, kami akan biayai. Perkhidmatan yang
dibuka sejak lima bulan lalu terbuka kepada semua anggota masyarakat.
Artikel
Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130618/re_01/Memperkasa-gerakan-koperasi#ixzz2Wd2X88N2
© Utusan
Melayu (M) Bhd | 18 Jun 13
No comments:
Post a Comment